Alat Kebolehcapaian
YB Dato Lukanisman bin Awang Sauni, Timbalan Menteri Kesihatan bersama YB Tuan Wong Kah Woh, Timbalan Menteri Pendidikan telah merasmikan pelancaran Inisiatif Senaman Ringan atau dikenali sebagai X-BREAK Institusi Pendidikan Peringkat Kebangsaan bertempat di SMK Kiaramas, Kuala Lumpur baru-baru ini.
X-BREAK merupakan aktiviti regangan mudah yang mengambil masa sekitar dua (2) hingga lima (5) minit dan dilaksanakan secara santai ketika waktu persekolahan. Tujuannya adalah untuk meningkatkan kadar nadi pelajar serta menggalakkan pergerakan aktif walaupun dalam tempoh yang singkat. Inisiatif ini mula diperkenalkan sejak tahun 2019 dan telah terbukti memberi manfaat kepada kesihatan serta produktiviti khususnya dalam kalangan penjawat awam dan pekerja sektor swasta.
Sebagai langkah permulaan, aktiviti ini akan digerakkan melalui platform Kelab Doktor Muda di sekolah rendah dan menengah. Setakat Januari 2025, seramai 3,530 sekolah rendah dan 900 sekolah menengah di seluruh negara telahpun menubuhkan Kelab Doktor Muda, menjadikan ia sebahagian daripada aktiviti kokurikulum sekolah.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) optimis dan berharap agar X-BREAK ini dapat diperluaskan ke semua sekolah di Malaysia supaya amalan hidup aktif dapat dipupuk sejak di bangku sekolah lagi.
.
Townhall Geran Pasukan MyCHAMPION kini menjelajah seluruh negara bagi memberi pendedahan kepada sukarelawan MyCHAMPION dan NGO mengenai peluang memperoleh geran untuk melaksanakan inisiatif kesihatan di peringkat komuniti.
Siri townhall ini telah diadakan di beberapa lokasi, termasuk UiTM Kampus Bandaraya Melaka (Zon Selatan, 8 Februari), Dewan Serbaguna KKM (Zon Tengah, 9 Februari), dan Ar-Riyadah Residence, Kuala Terengganu (Zon Pantai Timur, 15-16 Februari).
Sepanjang program ini, peserta diberikan bimbingan khas mengenai penyediaan kertas kerja projek, syarat kelayakan permohonan, serta jenis aktiviti yang layak menerima pembiayaan geran.
Inisiatif ini bukan sekadar menyalurkan dana, tetapi merupakan langkah penting dalam mentransformasikan sistem kesihatan negara daripada pendekatan ‘sick care’ kepada ‘health care’. Komuniti digalakkan untuk bersikap lebih proaktif dalam merancang dan melaksanakan aktiviti kesihatan yang memberi impak jangka panjang.
Townhall ini dijangka terus menjadi pemangkin utama dalam melahirkan generasi MyCHAMPION yang bukan sahaja bersemangat tetapi juga berilmu dalam menggerakkan perubahan kesihatan di peringkat akar umbi.
Siri townhall seterusnya akan diteruskan di Zon Utara, Zon Sabah, dan Zon Sarawak pada bulan April.


.
YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan, telah merasmikan Cabaran Langkah Sihat @IPKKM, yang akan berlangsung dari 1 hingga 28 Februari 2025. Majlis pelancaran dimulakan dengan aktiviti berjalan kaki dari Ibu Pejabat KKM ke Tangga Putrajaya Steps, diikuti aktiviti menaiki hampir 200 anak tangga. Aktiviti ini bertujuan merangsang sistem limfatik dan meningkatkan imuniti badan.
Apa yang lebih istimewa, sesi pemanasan badan pada majlis ini dipimpin oleh Saudara Soh Wai Ching, Towerrun World Champion.
Cabaran ini juga menjadi persediaan warga KKM untuk menghadapi dua acara utama 2025:
• Cabaran Langkah Putrajaya Sihat (antara kementerian, April).
• Cabaran Langkah Malaysia Sihat (penjawat awam seluruh negara, Ogos).

.
YB Tan Sri Dato' (Dr.) Johari bin Abdul, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, telah merasmikan program kesejahteraan kesihatan di Parlimen. Program ini bertujuan untuk memperkenalkan inisiatif pembudayaan hidup sihat dalam kalangan Ahlli-ahli Yang Berhormat melalui beberapa komponen utama:
1. Wellness on Wheels (WoW) - Program ini menyediakan perkhidmatan kesejahteraan kesihatan dengan pendekatan jangkau luar yang merangkumi penyampaian maklumat kesihatan, pendidikan kemahiran hidup sihat dan perkhidmatan promosi kesihatan secara terus kepada rakyat oleh Pegawai Pendidikan Kesihatan. Perkhidmatan WoW meliput saringan kesihatan, konsultasi pengurusan berat badan, bantuan berhenti merokok serta sesi demonstrasi aktiviti fizikal dan senaman.
2. Inisiatif War on Sugar - Selaras dengan pengumuman Hari Tanpa Gula setip hari Rabu di Parlimen dan kempen 'Jom Kosong' yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) bagi mengurangkan penggunaan gula dalam kehidupan seharian.
3. 1,000 Hari Pertama Kehidupan - Inisiatif ini bertujuan menangani isu malpemakanan dalam kalangan kanak-kanak melalui khidmat nasihat pemakanan, pengurusan berat dan sokongan penyusuan ibu yang diberikan oleh Pegawai Pemakanan.
Sokongan Ahli Parlimen dalam inisiatif ini adalah sangat penting bagi memastikan kesejahteraan rakyat secara keseluruhan. Semua pihak diseru untuk bersama-sama mempromosikan budaya hidup sihat demi #MalaysiaSihat

.
YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor telah merasmikan Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera & Hari Warga Emas Sedunia JKNJ Peringkat Negeri Johor di Pekarangan Wellness Hub Batu Pahat. Turut memberi ucapan semasa majlis perasmian adalah Dr. Hj. Mohtar bin Pungut @ Ahmad, Pengarah Kesihatan Negeri Johor dan YBhg.
Dato' Tunku Muzafar Shah, Ketua Subkepakaran Geriatrik Kebangsaan.
Semasa perasmian, turut diadakan penyampaian Anugerah Warga Emas dan majlis penutup IFitEr peringkat negeri Johor.
Pelbagai aktiviti menarik telah dianjurkan program jangkau luar MyCHAMPION, Fun Run 5KM, forum warga emas, saringan kesihatan, pertandingan memanah, Neon Nite Ride, permainan interaktif, pertandingan aerodance serta cabaran bersama pempengaruh.

.
YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Bil.2/2024 di Putrajaya pada 24 September 2024.
Mesyuarat ini bertujuan untuk meluluskan Pelan Strategik Putrajaya Sihat Sejahtera (PSS) sebagai sebahagian daripada inisiatif di bawah ANMS, dengan penekanan untuk mewujudkan penjawat awam yang lebih sihat dan produktif. Dengan pendekatan 'whole of nation', kejayaan PSS bergantung kepada usaha memperkasa penjawat awam serta komitmen penuh daripada semua Kementerian, Jabatan dan Agensi dalam memastikan kesejahteraan kesihatan dimasukkan ke dalam setiap polisi.
Mesyuarat turut disertai oleh YB Dato’ Lukanisman bin Awang Sauni, Timbalan Menteri Kesihatan, YBhg. Dato’ Sri Suriani binti Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan dan YBhg. Datuk Dr. Muhammad Radzi bin Abu Hassan, Ketua Pengarah Kesihatan.
.
YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri, telah melancarkan Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan (DLKK) dan Kempen Perangi Gula bersempena dengan sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) yang berlangsung di Port Dickson, Negeri Sembilan. Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran YAB Dato' Seri Utama Haji Aminuddin bin Haji Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan, YB Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan, YB Dato' M K Ibrahim bin Abd Rahman, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Sembilan serta YBhg. Tan Sri Dato' Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara.
Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan (DLKK) merupakan sebahagian daripada inisiatif Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang bertujuan meningkatkan tahap kesedaran kesihatan dalam kalangan rakyat. Melalui dasar ini, diharapkan lebih ramai rakyat Malaysia akan mengamalkan budaya hidup sihat dan secara tidak langsung dapat mengurangkan kadar penyakit.

.
Fiesta Pulau Pinang Sihat Sejahtera sempena Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) Peringkat Negeri Pulau Pinang 2024 di Padang Taman Sembilang, Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Majlis perasmian fiesta ini telah disempurnakan oleh Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, YB Gooi Zi Sen, yang turut diiringi oleh YBhg. Dato' Dr. Fazilah binti Shaik Allaudin, Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang dan Pn. Suraiya Syed Mohamed , Pengarah Bahagian Pendidikan Kesihatan.
Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang fiesta, termasuk zumba, program outreach MyCHAMPION, sukan rakyat, pocket talk dan fun run. Acara ini mendapat sambutan hangat dengan kehadiran melebihi 5,000 pengunjung.
Fiesta turut dimeriahkan dengan kehadiran pempengaruh terkenal seperti Achey, Bell Ngasri, Mek Yun, Atu Zero, Arwan, Chi Howe dan Ravi Zephyr yang menambahkan lagi keterujaan para pengunjung.
.
YB Dato Lukanisman bin Awang Sauni, Timbalan Menteri Kesihatan telah menyempurnakan Majlis Perasmian Wellness Hub Lahad Datu, Sabah. Wellness Hub ini menawarkan perkhidmatan kesejahteraan kesihatan yang komprehensif untuk pengukuhan pembudayaan hidup sihat termasuk peningkatan literasi kesihatan. Selain itu, perkhidmatan Wellness Hub di Lahad Datu dilengkapkan dengan Wellness on Wheels (WoW) iaitu perkhidmatan kesejahteraan kesihatan secara mobile bagi aktiviti jangkau luar (outreach) dalam memperkasa komuniti membudayakan hidup sihat.
Wellness Hub Lahad Datu telah memulakan operasinya pada 2 Januari 2024 dengan menawarkan 13 Pakej Perkhidmatan Kesejahteraan Kesihatan untuk pelbagai peringkat umur seperti Penilaian Faktor Risiko Kesihatan, Pengurusan Berat Badan (IFitEr), Bicara Sihat, Sokongan Kesejahteraan, My Green Hands, Perkhidmatan Berhenti Merokok, Runding Cara Hidup Sihat, MyCHAMPION, Resilien, Seni Kreatif, Wellness Studio, Gimnasium dan Galeri Infosihat.
.
Bengkel Penghasilan Bahan Promosi Pembudayaan Hidup Sihat Bagi Kempen Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) telah Berjaya dilaksanakan pada 29-31 Januari 2024 bertempat di Hotel Villea Port Dickson, Negeri Sembilan. Bengkel ini telah dihadiri oleh 30 orang peserta dari pelbagai Bahagian di bawah Kementerian Kesihatan. Bengkel ini turut menampilkan panel hebat seperti Erma Fatima, Dr. Malar, Coach WF Sufina dan Dr. Saiful Adli bagi berkongsi kepakaran dalam bidang masing-masing.
Bengkel ini bertujuan untuk bertukar pandangan dalam melahirkan idea serta pendekatan yang paling menarik dan kreatif bagi menghasilkan bahan-bahan promosi kempen. Enam (6) elemen yang diberi penekanan adalah aktiviti fizikal, pemakanan sihat dan selamat, saringan kesihatan, kesihatan mental, kesihatan persekitaran dan bahaya rokok dan vape yang menjadi asas utama dalam memupuk amalan pembudayaan hidup sihat.
.